Notes

This is a personal blog and everything written on this blog, is based on own and personal thought.The owner of this blog did not responsible for any comments that made in the comment sections. The owner is only responsible by his name as written by the sections.This web blog does not store any file on its server. All movies, software, form of files, pictures and any type of graphic forms that are posted on this blog are indexed from other sites and its just for personal purpose only.

Wednesday

Mak Kita Seorang Pembohong !

Memang sukar untuk org lain percaya, tapi itulah yang berlaku, ibu saya memang seorang pembohong!

Sepanjang ingatan saya, sekurang-kurangnya 8 kali ibu membohongi saya.

Saya perlu catatkan segala pembohongan itu untuk menjadi renungan dan panduan anda semua.

Ambillah iktibar daripadanya dan hayatilah sebaiknya kerana itulah ibuku!

01.PEMBOHONGAN IBU YANG PERTAMA - Cerita ini bermula ketika saya masih kecil. Saya lahir sebagai seorang anak lelaki dalam sebuah keluarga yang miskin.

Makan minum serba kekurangan. Kami sering kelaparan.

Ada kalanya selama beberapa hari kami terpaksa makan berlaukkan seekor ikan masin dikongsi 1 keluarga.

Sebagai anak yang masih kecil, saya sering saja merungut. Saya menangis mahukan nasi dan lauk yang banyak. Tapi mak cepat memujuk.

Ketika makan, mak sering memberikan bahagian nasinya untuk saya.

Sambil memindahkan nasi ke mangkuk saya, mak berkata: "Makanlah nak, mak tak lapar.".

02.PEMBOHONGAN IBU YANG KEDUA - Ketika saya mulai besar, mak yang gigih sering meluangkan waktu senggangnya untuk pergi memancing di tali air berhampiran rumah.

Mak berharap dari ikan hasil pancingan itu dapat memberikan sedikit makanan untuk pembesaran kami adik-beradik.

Pulang memancing, mak memasak gulai ikan yang segar dan mengundang selera.

Sewaktu saya memakan gulai ikan itu, mak duduk di samping kami dan memakan sisa daging ikan yang menempel di tulang daripada bekas sisa ikan yang saya makan tadi.

Saya sedih melihat mak seperti itu.

Hati saya tersentuh, lalu dengan menggunakan sudu, saya memberikan ikan itu kepada mak. Tetapi mak dengan cepat menolaknya. Mak berkata: "Makanlah nak, mak tak suka makan ikan."

03.PEMBOHONGAN IBU YANG KETIGA - Di usia awal remaja, saya masuk sekolah menengah. Mak pergi ke kedai dengan membawa sejumlah penyapu lidi dan kuih-muih untuk menyara persekolahan saya, abang dan kakak.

Suatu dinihari, lebih kurang 1.30 pagi, saya terjaga dari tidur.

Saya melihat mak sedang membuat kuih bertemankan sebuah pelita di hadapannya. Beberapa kali saya lihat kepala mak terhangguk kerana terlalu mengantuk.

Saya berkata: "Mak, tidurlah, esok pagi mak kena pergi kebun pula." Mak tersenyum dan berkata: "Cepatlah tidur nak, mak belum mengantuk lagi."

04.PEMBOHONGAN IBU YANG KEEMPAT - Di hujung musim persekolahan, mak meminta cuti kerja supaya dapat menemani saya pergi ke sekolah untuk menduduki peperiksaan penting.

Ketika hari sudah siang, terik panas matahari mulai menyinari, mak terus sabar menunggu saya di luar dewan.

Mak sering kali saja tersenyum dan mulutnya terkumat-kamit berdoa kepada Ilahi agar saya lulus ujian peperiksaan ini dengan cemerlang.

Ketika lonceng berbunyi menandakan ujian sudah selesai, mak dengan segera menyambut saya dan menuangkan kopi yang sudah disiapkan dalam botol yang dibawanya.

Kopi yang kental itu tidak dapat dibandingkan dengan kasih sayang mak yang jauh lebih kental.

Melihat tubuh mak yang dibasahi peluh, saya segera memberikan cawan saya itu untuk mak dan menyuruhnya minum.

Tapi mak cepat-cepat menolaknya dan berkata: "Minumlah nak, mak tak haus."

05.PEMBOHONGAN IBU YANG KELIMA - Setelah pemergian ayah kerana sakit, iaitu selepas adik saya baru beberapa bulan dilahirkan, maklah yang mengambil tugas sebagai ayah kepada kami sekeluarga.

Mak bekerja mengambil upah di kebun, membuat penyapu lidi dan berjual kuih-muih agar kami tidak kelaparan.

Tapi apalah sangat kudrat seorang ibu. Kehidupan keluarga kami semakin susah dan susah.

Melihat keadaan keluarga yang semakin parah, seorang pakcik yang baik hati dan tinggal berjiran dengan kami, datang membantu mak.

Anehnya, mak menolak bantuan itu.

Jiran-jiran sering menasihati mak supaya menikah lagi agar ada seorang lelaki yang akan menjaga mak dan mencarikan wang untuk kami sekeluarga.

Tetapi mak yang memang keras hatinya tidak mengendahkan nasihat mereka.

Mak berkata: "Saya tidak perlukan cinta, saya tidak perlukan lelaki."

06.PEMBOHONGAN IBU YANG KEENAM - Setelah kakak dan abang habis belajar dan mulai bekerja, mak sudah pun tua.

Kakak dan abang menyuruh mak supaya berehat saja di rumah. Tidak payahlah lagi bersusah payah dan bersengkang mata untuk mencari duit, tetapi mak tidak mahu.

Mak rela pergi pasar setiap pagi menjual sedikit sayur untuk memenuhi kekperluan hidupnya.

Kakak dan abang yang bekerja jauh di kota besar sering mengirimkan wang untuk membantu memenuhi keperluan mak, pun begitu mak tetap berkeras tidak mahu menerima wang tersebut.

Malahan mak mengirim balik wang itu, dan mak berkata: "Jangan susah-susah, mak ada duit."

07.PEMBOHONGAN IBU YANG KETUJUH - Setelah tamat pengajian di universiti, saya melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana di luar negara.

Pengajian saya di sana dibiayai sepenuhnya oleh sebuah syarikat besar.

Sarjana itu saya sudahi dengan cemerlang, kemudian saya pun bekerja dengan syarikat yang telah membiayai pengajian saya, juga di luar negara.

Dengan gaji yang agak lumayan, saya berhajat membawa mak untuk menikmati penghujung hidupnya di luar negara.

Pada pandangan saya, mak sudah puas bersusah payah untuk kami.

Hampir seluruh hidupnya habis dengan penderitaan, eloklah kalau hari-hari tuanya ini mak habiskan dengan keceriaan dan keindahan pula.

Tetapi ibu yang baik hati, menolak ajakan saya.

Mak tidak mahu menyusahkan anaknya ini dengan berkata: "Tak payahlah, mak tak biasa tinggal di negara orang."

08.PEMBOHONGAN IBU YANG KELAPAN - Beberapa tahun berlalu, mak semakin tua. Suatu malam saya menerima berita mak diserang penyakit kanser.

Mak mesti dibedah secepat mungkin. Saya menjenguk ibunda tercinta.

Saya melihat mak terbaring lemah di katil hospital setelah menjalani pembedahan.

Mak yang kelihatan sangat tua, menatap wajah saya dengan penuh kerinduan.

Mak menghadiahkan saya sebuah senyuman biarpun agak kaku kerana terpakas menahan sakit yang menjalari setiap inci tubuhnya.

Saya dapat melihat dengan jelas betapa penyakit itu telah memamah tubuh ibu sehingga mak menjadi terlalu lemah dan kurus.

Saya menatap wajah mak sambil berlinangan air mata.

Saya cium tangan mak, kemudian saya kucup pula pipi dan dahinya.

Di saat itu hati saya terlalu pedih, sakit sekali melihat mak dalam keadaan seperti ini.

Tetapi mak tetap tersenyum dan berkata-kata: "Jangan menangis nak, mak tak sakit."

Setelah mengucapkan pembohongan yang kelapan itu, ibunda tercinta menutup matanya untuk kali terakhir kali.

Anda bertuah kerana masih mempunyai ibu dan ayah. Anda boleh memeluk dan menciumnya.

Kalau ibu anda jauh dari mata, anda boleh menelefonnya sekarang, dan berkata: MAK, SAYA SAYANGKAN MAK!

Tapi tidak saya. Sehingga kini saya diburu rasa bersalah yang amat sangat kerana biarpun mengasihi mak lebih dari segala-galanya, tapi tidak pernah sekalipun saya membisikkan kata-kata itu ke telinga mak, sampailah saat mak menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Mak, maafkan saya. SAYA SAYANGKAN MAK...!!!

Tuesday

Disebalik pengertian 'tudung'

Saya ingin bercerita mengenai kisah adik saya, Nur Annisa, seorang gadis yang baru menginjak dewasa tetapi agak kasar dan suka berkelakuan seperti lelaki. Ketika usianya mencecah 17 tahun perkembangan tingkah lakunya benar-benar membimbangkan ibu.

Dia sering membawa teman-teman lelakinya pulang ke rumah. Situasi ini menyebabkan ibu tidak senang tambahan pula ibu merupakan guru al-Quran. Bagi mengelakkan pergaulan yang terlalu bebas,ibu telah meminta adik memakai tudung. Permintaan ibu itu ditolaknya sehingga seringkali berlaku pertengkaran-pertengkaran kecil antara mereka.
Pernah pada suatu masa, adik berkata dengan suara yang agak keras,"cuba mama tengok, jiran-jiran kita pun ada yang anaknya pakai tudung, tapi perangainya sama je macam orang yang tak pakai tudung. Sampai kawan-kawan annisa kat sekolah, yang pakai tudung pun selalu keluar dating dengan boyfriend diorang, pegang-pegang tangan. Ani ni, walaupun tak pakai tudung, tak pernah buat macam tu!"

Ibu hanya mampu mengeluh mendengar kata-kata adik. Kadang kala saya terlihat ibu menangis di akhir malam.Dalam Qiamullailnya.Terdengar lirik doanya " Ya Allah, kenalkan annisa dengan hukum-Mu".

Pada satu hari ada jiran yang baru pindah berhampiran rumah kami.Sebuah keluarga yang mempunyai enam orang anak yang masih kecil.
Suaminya bernama Abu khoiri, (nama sebenarnya siapa, tak dapat dipastikan). Saya mengenalinya sewaktu di masjid.

Setelah beberapa lama mereka tinggal berhampiran rumah kami, timbul desas-desus mengenai isteri Abu Khoiri yang tidak pernah keluar rumah, hingga ada yang menggelarnya si buta, bisu dan tuli. Perkara ini telah sampai ke pengetahuan adik. Dia bertanya kepada saya, "abang, betul ke orang yang baru pindah itu, isterinya buta, bisu dan tuli?" Lalu saya menjawab sambil lewa, "kalau nak tau sangat, pergi rumah mereka, tanya sendiri".

Rupa-rupanya adik mengambil serius kata-kata saya dan benar-benar pergi ke rumah Abu Khoiri. Sekembalinya dari rumah mereka, saya melihat perubahan yang benar-benar mendadak berlaku pada wajah adik.

Wajahnya yang tak pernah muram atau lesu menjadi pucat lesi. Entah apa yang dah berlaku? Namun, selang dua hari kemudian, dia minta ibu buatkan tudung. Tudung yang labuh. Adik pakai baju labuh. Lengan panjang pula tu. Saya sendiri jadi bingung. Bingung campur syukur kepada Allah SWT kerana saya melihat perubahan yang ajaib. Ya, saya katakan ajaib kerana dia berubah seratus peratus! Tiada lagi anak-anak muda atau teman-teman wanitanya yang datang ke rumah hanya untuk bercakap perkara-perkara yang tidak tentu arah.
Saya lihat, dia banyak merenung, banyak baca majalah Islam (biasanya dia suka beli majalah hiburan), dan saya lihat ibadahnya pun melebihi saya sendiri.

Tak ketinggalan tahajudnya, baca Qur'annya, solat sunatnya dan yang lebih menakjubkan lagi, bila kawan-kawan saya datang, dia menundukkan pandangan. Segala puji bagi Engkau wahai Allah, jerit hati saya. Tidak lama kemudian, saya mendapat panggilan untuk bekerja di kalimantan, kerja di satu perusahaan minyak.

Dua bulan saya bekerja di sana, saya mendapat khabar bahawa adik sakit tenat hingga ibu memanggil saya pulang ke rumah (rumah saya di Madiun). Dalam perjalanan, saya tak henti-henti berdoa kepada Allah SWT agar adik di beri kesembuhan, hanya itu yang mampu saya usahakan.

Ketika saya sampai di rumah..didepan pintu sudah ramai orang. Hati berdebar-debar, tak dapat ditahan. Saya berlari masuk ke dalam rumah. Saya lihat ibu menangis. Saya segera menghampiri ibu lantas memeluknya. Dalam esak tangisnya ibu memberitahu, "Dhi, adik boleh mengucapkan kalimat Syahadah diakhir hidupnya". Air mata ini tak dapat ditahan lagi!!

Setelah selesai upacara pengkebumian dan lain-lainnya, saya masuk ke bilik adik. Saya lihat di atas mejanya terletak sebuah diari.
Diari yang selalu adik tulis. Diari tempat adik menghabiskan waktunya sebelum tidur semasa hayatnya. Kemudian diari itu saya buka sehelai demi sehelai. Hingga sampai pada satu halaman yang menguak misteri dan pertanyaan yang selalu timbul di hati ini. Perubahan yang terjadi ketika adik baru pulang dari rumah Abu khoiri. Di situ tertera soaljawab antara adik dan isteri jiran kami itu.

Butirannya seperti ini, soaljawab (saya lihat di lembaran itu terdapat banyak bekas airmata)

Annisa: (Aku hairan,wajah wanita ini cerah dan bersinar seperti bidadari) Mak cik, wajah mak cik sangat muda dan cantik!

Isteri jiranku: Alhamdulillah. Sesungguhnya kecantikan itu datang dari lubuk hati.

Annisa: tapi mak cik kan dah ada anak enam. Tapi masih kelihatan cantik.

Isteri jiranku: Subhanallah! Sesungguhnya keindahan itu milik Allah SWT. Dan bila Allah SWT berkehendak. Siapakah yang boleh menolaknya?

Annisa: Mak Cik, selama ini ibu saya selalu menyuruh saya memakai tudung, tapi saya selalu menolak kerana saya rasa tak ada masalah kalau saya tak pakai tudung asalkan saya berkelakuan baik. Saya tengok, banyak wanita yang pakai tudung tapi kelakuannya melebihi kami yang tak pakai. Sampaikan saya tak pernah rasa nak pakai tudung. Pendapat mak cik bagaimana?

Isteri jiranku: Annisa, sesungguhnya Allah SWT menjadikan seluruh tubuh wanita ini perhiasan dari hujung rambut hingga hujung kaki, segala sesuatu dari tubuh kita yang terlihat oleh bukan mahram kita semuanya akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT nanti, tudung adalah perlindungan untuk wanita!

Annisa: Tapi yang saya tengok, banyak wanita bertudung yang kelakuannya tak elok.

Isteri jiranku: Tudung hanyalah kain , tapi hakikat atau makna disebalik tudung itu sendiri yang harus kita fahami.

Annisa: apakah hakikat tudung?

Isteri jiranku: Hakikat tudung adalah perlindungan zahir batin, lindungi mata kamu dari memandang lelaki yang bukan mahram kamu, lindungi lidah kamu dari mengumpat orang dan bercakap perkara yang sia-sia.
Sentiasalah lazimi lidah dengan zikir kepada Allah SWT, lindungi telinga kamu dari mendengar perkara yang mengundang mudharat baik untuk dirimu mahupun masyarakat , lindungi hidungmu dari mencium segala yang berbau busuk, lindungi tangan-tangan kamu dari berbuat sesuatu yang tidak senonoh, lindungi kaki kamu dari melangkah menuju maksiat, lindungi fikiran kamu dari berfikir perkara yang mengundang syaitan untuk memperdayai nafsu kamu, lindungi hati kamu dari sesuatu selain Allah SWT, bila kamu sudah biasa, maka tudung yang kamu pakai akan menyinari hati kamu. Itulah hakikat tudung.

Annisa: Mak cik, sekarang saya sudah jelas tentang erti tudung. Mudah mudahan saya mampu pakai tudung. Tapi, macam mana saya nak buat semua tu?

Isteri jiranku:

Duhai nisa, bila kamu memakai tudung, itulah kurniaan dan rahmat yang datang dari Allah SWT yang Maha Pemberi Rahmat , bila kamu mensyukuri rahmat itu, kamu akan diberi kekuatan untuk melaksanakan amalan-amalan 'tudung' hingga mencapai kesempurnaan yang diinginkan Allah SWT.

Duhai nisa, ingatlah akan satu hari di mana seluruh manusia akan dibangkitkan ketika ditiup sangkakala yang kedua. Pada saat roh-roh manusia seperti anai-anai yang bertebaran dan dikumpulkan dalam satu padang yang tiada batas, yang tanahnya dari logam yang panas, tiada rumput mahupun tumbuhan, ketika tujuh matahari didekatkan di atas kepala kita namun keadaan gelap gelita, ketika seluruh manusia ketakutan, ketika ibu tidak mempedulikan anaknya, anak tidak mempedulikan ibunya, sanak-saudara tidak kenal satu sama lain lagi, antara satu sama lain boleh menjadi musuh lantaran satu kebaikan lebih berharga dari segala sesuatu yang ada di alam ini, ketika manusia berbaris dengan barisan yang panjang dan masing masing hanya mempedulikan nasib dirinya, dan pada saat itu ada yang berpeluh kerana rasa takut yang luar biasa hingga tenggelam dirinya akibat peluh yang banyak, dan bermacam macam rupa-rupa bentuk manusia yang tergantung amalannya, ada yang melihat ketika hidupnya namun buta ketika dibangkitkan, ada yang berbentuk seperti haiwan,ada yang berbentuk seperti syaitan, semuanya menangis. Menangis kerana hari itu Allah SWT murka! Belum pernah Allah SWT murka sebelum dan sesudah hari itu. Hingga ribuan tahun manusia dibiarkan Allah SWT dipadang mahsyar yang panas membara hinggalah sampai ke Timbangan Mizan. Hari itulah dipanggil hari Hisab.

Duhai Annisa, bila kita tidak berusaha untuk beramal pada hari ini, entah dengan apa nanti kita akan menjawab bila kita di tanya oleh Yang Maha Perkasa, Yang Maha Besar, Yang Maha Kuat, Yang Maha Agung, Allah SWT.
Sampai di sini sahaja kisah itu saya baca kerana di sini tulisannya terhenti dan saya lihat banyak titisan airmata yang jatuh dari pelupuk matanya.

Subhanallah! Saya selak halaman berikutnya dan saya lihat tertera tulisan kecil dibawah tulisan itu

"buta, tuli dan bisu.. wanita yang tidak pernah melihat lelaki selain mahramnya, wanita yang tidak pernah mahu mendengar perkara yang dapat mengundang murka Allah SWT, wanita tidak pernah berbicara ghibah dan segala sesuatu yang mengundang dosa dan sia sia"

Tak tahan airmata ini pun jatuh. Semoga Allah SWT menerima adikku disisi-Nya. Amin.

Saya harap cerita ini boleh menjadi iktibar bagi kita semua, wassalam.