Notes
This is a personal blog and everything written on this blog, is based on own and personal thought.The owner of this blog did not responsible for any comments that made in the comment sections. The owner is only responsible by his name as written by the sections.This web blog does not store any file on its server. All movies, software, form of files, pictures and any type of graphic forms that are posted on this blog are indexed from other sites and its just for personal purpose only.
Saturday
Falsafah Hidup Riwayat HAMKA
Apakah yang menghambat kita mengerjakan kebaikan?. Yang menghambat kita mengerjakan kebaikan ada 2.. perkara iaitu pertama halangan dan kedua taqhsir (kelalaian). Halangan tersebut disebabkan oleh sakit, lapar, miskin dan seumpamanya. Walau bagaimanapun taqhsir adalah disebabkan 4 perkara:
1- Lantaran tidak dapat membezakan antara yang hak dengan yang batil, atau antara yang baik dengan yang buruk. Ubatnya mudah sahaja iaitu BELAJAR.
2-Sudah tahu tetapi tidak dapat dibiasakan mengerjakan yang baik, sehingga dirasai bahawa mengerjakan yang jahat itu juga baik. Menghilangkan masalah ini tidaklah semudah yang pertama, ianya memerlukan kepada LATIHAN.
3- Telah disangka bahawa yang jahat itu baik, dan yang baik itu jahat kerana telah terdidik daripada kecil dalam perasaan yang demikian. Hal ini lebih sukar untuk diubati daripada yang ke-2. Ianya harus mendapat PENDIDIKAN atau GURU YANG LAPANG DADA dan SABAR.
4-Didalam kejahilannya dan kerosakan didikan itu, hatinya pula buruk. Dia berpendapat bahawa mengerjakan kebaikan itu sia-sia sahaja dan bekerja jahat itulah yang utama. Ini pula LEBIH SUKAR memperbaikinya daripada yang ketiga...
Friday
Kecerdasan Emosi Menurut HAMKA
Buya HAMKA
SEORANG BUDIMAN
Perangainya halus, hatinya suci, sikapnya jujur, perkataannya teratur dan budinya mulia. Kelakuannya baik, mukanya jernih, sebab dia memandang hidup dengan penuh pengharapan dan tidak pernah putus asa. Apa yang diyakininya, itulah yang dikatakannya, dan apa yang dikatakannya itulah yang diyakininya.
Maka kita ambillah kesimpulan, bahawa dia seorang budiman.
SEORANG CERDAS
Dia cerdas, akalnya tajam, buah fikirannya baik, dan iapun cepat mengambil kesimpulan; terang otaknya, luas pandangannya dan jauh tiliknya.
ORANG MASYARAKAT
Dia suka bergaul, suka menolong, tidak menyisih dari masyarakat, tidak memikirkan kepentingan dirinya sendiri atau keluarganya sahaja, tidak gila pangkat; mengerti akan kedudukan orang lain dan merasa dirinya turut dalam kedudukan itu. Hormat kepada orang tua, kasih kepada orang muda, pandai bergaul, pandai berkawan.
ORANG SIHAT
Badannya sihat, mukanya berseri-seri kerana kesihatan tubuh dan kesihatan jiwanya. Pakaiannyapun bersih kerana kebersihan hatinya. Dia gemar akan olah-raga untuk kesihatan tubuh dan dia suka muzik untuk kesihatan batin.
ORANG CERDIK-PANDAI
Fahamanya luas, penyelidikannya dalam, bacanya banyak. Sebab itu banyaklah yang diketahuinya, sehingga dia tidak merasa canggung dalam pergaulan dengan segala lapisan. Oleh kerana pengetahuannya dalam sesuatu hal, maka dia berani bertanggungjawab.
PERIBADI
Semuanya itu; budi, akal, pergaulan, kesehatan dan pengetahuan, berkumpul menjadi satu, pada suatu orang. Kumpulan itulah yang membentuk suatu peribadi. Lemah atau kuat, berlebih atau berkurang daripada segala yang tersebut itu, menyebabkan lemah atau kuat, lebih atau kurang peribadi.
Dialah yang menentukan mutu seseorang.
HARGA KERBAU & MANUSIA
Dua puluh ekor kerbau pedati, yang sama gemuknya dan sama kuatnya, sama pula kepandaianya menghela pedati, tentu harganyapun tidak pula berlebih berkurang. Tetapi 20 orang manusia yang sama tingginya, sama kuatnya, belum tentu sama “harganya”. Sebab bagi kerbau tubuhnya yang berharga. Bagi manusia peribadinya.
ORANG BODOH
Kalau kita berkawan atau bersahabat dengan orang, harus kita ketahui bahawa sebagai manusia, dia harus mempunyai suatu segi yang lemah dalam peribadinya. Hanya orang yang bodoh yang dipenuhi perasaan semata, sentiment semata, bila ia sayang, ia lupa akan segala kesalahan. Dan bila ia benci iapun lupa akan segala kebajikan.
RINGKASNYA – PERIBADI ITU:
1. Kumpulan (himpunan) sifat-sifat dan kelebihan diri, yang menunjukkan kelebihan seseorang daripada orang lain. Sehingga ada manusia besar dan manusia kecil. Ada manusia yang sangat bererti hidupnya, dan ada yang tidak bererti sama sekali.
Masuknya tidak menggenapkan, dan keluarnya tidak mengganjilkan.
2. Kumpulan (himpunan) akal-budi, kemahuan, cita-cita dan bentuk tubuh. Hal itu menyebabkan harga kemanusiaan seseorang berbeza dari yang lain.
RINGKASNYA:
�� Semua yang dinyatakan oleh hamka itu menggambarkan kedudukan kecerdasan emosi seseorang.
�� Andalah yang menentukan segala-galanya untuk melayari hidup anda!
(Hamka, 1950)
Disediakan Oleh
MOZAIMI BIN MOHAMAD
Pengurus Besar
Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka
Tuesday
Inilah Melayu
Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.
Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak.
Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua´alaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)
Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan
Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara
Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.
Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan
Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut
Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selaga yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"
Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.
Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka
(Usman Awang)
Subscribe to:
Posts (Atom)



